KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Datuk Hasanah Abdul Hamid meninggal dunia akibat kanser di kediamannya di Desa Putra, Putrajaya hari ini.

Perkara itu dimaklumkan peguam, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz yang mewakilinya dalam kes mahkamah melibatkan tuduhan pecah amanah wang harta kerajaan berjumlah AS$12.1 juta (RM50.4 juta).

Beliau berkata, Hasanah, 66, meninggal dunia pada 1.22 tengah hari dan jenazahnya dimandi serta disembahyangkan di Surau Al Ikhwan, Desa Pinggiran Putra pada 3 petang tadi.

“Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Limau Manis, Putrajaya,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Menurut Mohd Khairul Azam, Allahyarham merupakan seorang yang tenang dan tabah dalam menghadapi sebarang ujian.

“Ketika saya kendalikan kes beliau dahulu… Allahyarham memang berani untuk buktikan dia tidak bersalah,” katanya.

Pada 9 Ogos tahun lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membebas dan melepaskan Hasanah daripada pertuduhan melakukan pecah amanah wang berjumlah US$12.1 juta (RM50.4 juta) milik kerajaan Malaysia, empat tahun sebelum itu. – Bernama