Timbalan Pengerusi PENMutiara, Zakaria Ismail
Zakaria.

BATU MAUNG – Nelayan Pulau Pinang menyifatkan Projek Pulau Pinang Selatan (PSI) lebih berpaksikan kepentingan kapitalis berbanding kebimbangan kerajaan negeri membabitkan sekuriti makanan negara.

Dakwaan itu disuarakan Timbalan Pengerusi Persatuan Nelayan Pulau Pinang (PEN Mutiara), Zakaria Ismail susulan melihat tindakan Kerajaan Negeri tertumpu kepada penghasilan dan penjualan harta tanah spekulatif dengan meminggirkan kepentingan alam sekitar dan ekosistem seimbang.

Beliau yang juga Ketua Unit Nelayan Sungai Batu berkata, Projek PSI itu juga bukan saja menjejaskan periuk nasi nelayan secara langsung namun impaknya lebih besar membabitkan pengurangan bekalan makanan laut, sekali gus memberi risiko harga melambung tinggi.

“Kawasan yang bakal ditambak untuk memberi laluan kepada Projek PSI itu bukan saja lubuk emas bagi nelayan negeri ini malah, nelayan dari selatan Kedah serta utara Perak.

“Mengikut data pendapatan nelayan di Pulau Pinang Selatan melebihi RM6 juta setahun. Ini bukan omong-omong kosong tapi bukti pemasaran membabitkan lapan unit nelayan di negeri ini.

“Jadi sekiranya mereka (kerajaan negeri) masih bertegas mahu meneruskan projek ini jelas rakyat bakal berdepan krisis makanan sekali gus sekuriti makanan negara turut akan terjejas,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette semalam.

Ibrahim (depan) mengadakan perjumpaan dengan ahli Persatuan Nelayan Pulau Pinang bagi membincangkan isu Projek PSI di Batu Maung.

Terdahulu, Zakaria menghadiri perjumpaan bersama ketua unit nelayan negeri itu bersama Pengerusi PEN Mutiara, Ibrahim Che Ros bagi membincangkan isu Projek PSI sebelum mereka mengemukakan rayuan kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Menurut Zakaria, pihaknya kini mengharapkan campur tangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam memastikan Projek PSI ini dibatalkan.

Jelas beliau, ribuan nelayan menjadi saksi dalam perjumpaan bersama perdana menteri yang ketika itu Ahli Parlimen Port Dickson, beliau sendiri menyatakan projek tambakan laut ini akan menyebabkan kemusnahan.

“Beberapa perkara disuarakan beliau pada 2019 dalam perjumpaan di Sungai Batu jadi kita harap perdana menteri kotakan janji tersebut agar Projek PSI ini terbatal dengan sendirinya.

“Malah, selepas mengambil alih tampuk pimpinan negara beliau sendiri menegaskan pembangunan tidak membawa makna sesebuah negara itu maju sekiranya kos sara hidup rakyat melambung dan suka saya jelaskan situasi itu akan berlaku kerana PSI akan musnahkan lokasi sumber makanan,” ujarnya.

Mengulas lanjut Zakaria memaklumkan, pihaknya kini dalam proses mengemukakan rayuan kepada JAS untuk menolak pelaksanaan Projek PSI.

Pelan Projek PSI melibatkan tiga buah pulau.

“Rayuan kali ini bukan atas nama saya seorang malah membabitkan tiga individu termasuk Pengerusi PEN Mutiara sendiri untuk menguatkan lagi rayuan daripada pihak nelayan.

“Nelayan akan pertahankan kawasan lubuk emas itu daripada Projek PSI,” tegas beliau. – MalaysiaGazette

Video Berkaitan