Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima cenderamata daripada Tunku Temenggong Kedah yang juga Pengerusi Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSMM), Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Ibni Almarhum Tuanku Abdul Halim Mua'dzam Shah (kanan) pada Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-75 dan Perasmian Ibu Pejabat Bulan Sabit Merah Malaysia di Ibu Pejabat Bulan Sabit Merah Malaysia, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 05 MEI 2023.

KUALA LUMPUR – Kerajaan mengumumkan peruntukan sebanyak RM3 juta kepada Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) dalam usaha memperkasakan kerja-kerja sukarelawan dan bantuan yang dijalankan persatuan itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peruntukan itu melibatkan perkhidmatan ambulan kecemasan 999, geran persediaan menghadapi bencana melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan disalurkan untuk persiapan pembangunan kapasiti di ibu pejabat dan negeri.

“Menteri (Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat) Nancy Shukri menyebut tentang peruntukan yang diserahkan melalui kementerian dan beliau juga telah bersetuju RM1 juta dari agensi pengurusan bencana negara NADMA .

“Itu khusus untuk kerja-kerja kebajikan atau usaha-usaha di lapangan baik dalam negara atau luar negara. Itu yang NADMA, tambahan RM1 juta.

“Dan untuk memperkukuh memastikan penyelenggaraan pengurusan di ibu pejabat dan negeri negeri itu lebih mantap, saya setuju menambah untuk ibu pejabat negeri sebanyak RM1 juta lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Pelancaran Sambutan Ulang Tahun ke-75 dan Perasmian Ibu Pejabat Kebangsaan Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) di sini hari ini.

Turut berangkat pada majlis itu ialah Tunku Temenggong Kedah, Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Almarhum Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah yang merupakan Pengerusi Kebangsaan BSMM.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melakukan pemeriksaan kawalan kehormatan Kadet Bulan Sabit Merah Malaysia pada Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-75 dan Perasmian Ibu Pejabat Bulan Sabit Merah Malaysia di Ibu Pejabat Bulan Sabit Merah Malaysia, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 05 MEI 2023.

Anwar menambah, kerajaan sentiasa menghargai peranan sukarelawan di negara ini yang sanggup merisikokan diri sendiri dalam usaha menyampaikan bantuan dan kebajikan, sama ada di dalam mahupun luar negara.

Beliau berkata, semangat yang ada dalam sukarelawan itu juga selaras dengan gagasan MADANI iaitu ihsan yang mementingkan sifat kemanusiaan sejagat tanpa mengira perkauman sempit.

“Kemanusiaan itu bererti kita ada ihsan dan kasih sayang. Nilai kemanusiaan itu apabila kita bertimbang rasa, ada kasih dan sayang, mereka akan bantu yang menghadapi masalah dan ini satu hal yang dikembangkan Bulan Sabit Merah.

“Selama 75 tahun dalam sejarah Bulan Sabit Merah ini iaitu hampir umur saya dan dengan pengalaman mereka bukan baru, di media dipaparkan setiap kali malapetaka, bencana dan perang saudara, kehadiran wakil mereka ada (terdapat yang) menyabung nyawa dan menghadapi risiko termasuk ada yang cedera,” katanya.

Justeru, Anwar mahu kementerian berkaitan untuk membantu dan mengalakkan lebih ramai anak muda untuk terlibat sama dalam kerja-kerja sukarelawan dan kebajikan. – MalaysiaGazette

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diiringi Tunku Temenggong Kedah yang juga Pengerusi Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSMM), Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Ibni Almarhum Tuanku Abdul Halim Mua’dzam Shah (kiri) melihat galeri foto pada Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-75 dan Perasmian Ibu Pejabat Bulan Sabit Merah Malaysia di Ibu Pejabat Bulan Sabit Merah Malaysia, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 05 MEI 2023.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast