Mayat seorang lelaki yang maut dilanggar komuter di landasan Seputeh semalam. Ihsan IPD Brickfields

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki disyaki warga asing ditemui maut selepas dilanggar tren komuter di Seputeh, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, pihaknya menerima laporan mengenai insiden itu pada jam 1.08 tengah hari semalam.

“Bertindak atas maklumat itu sepasukan anggota telah bergegas ke lokasi dan siasatan awal pihak Polis Brickfields di tempat kejadian mendapati bahawa mangsa telah berbaring di atas landasan kereta api sebelum dirempuh oleh komuter.

“Semasa kejadian kereta api komuter itu sedang dalam perjalanan menghala ke Stesen Seputeh dari Stesen Salak Selatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah Amihizam, hasil pemeriksaan di lokasi tidak menemui dokumen pengenalan diri mangsa.

Katanya, mangsa merupakan seorang lelaki, berambut pendek, dan berpakaian baju dan seluar berwarna hitam dan pemeriksaan pada mayat tiada menemukan kesan suntikan BCG.

Kes telah diklasifikasikan sebagai Laporan Mati Mengejut (SDR), ujarnya.

“Mayat mangsa telah dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk melakukan proses bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar yang menyebabkan kematiannya,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian berkenaan atau kehilangan ahli keluarga diminta menghubungi pihak Brickfields di talian 03-22979222 bagi membantu pengecaman mayat. – MalaysiaGazette