Suspek lelaki tempatan bernama Farid Afizi Jaafar yang sedang dicari polis membantu siasatan memukul lelaki sehingga parah dalam kejadian 20 April lalu.

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki cedera parah selepas dibelasah inidividu tidak dikenali di Jalan Budiman, Cheras, di sini, gara-gara perselisihan faham pada 20 April lalu.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin berkata, pihaknya mengesan insiden berkenaan telah ditularkan menerusi media sosial Facebook dengan salinan laporan polis oleh ahli keluarga mangsa pukul pada jam 10 pagi ini.

“Hasil semakan yang dibuat oleh polis mendapati, pada 20 April lalu jam lebih kurang 10.13 malam pegawai perubatan Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Cheras, Kuala Lumpur telah menerima mangsa iaitu seorang lelaki berusia 32 tahun dalam keadaan tidak sedarkan diri.

“Pemeriksaan mendapati mangsa telah mengalami pendarahan teruk di bahagian otak, tengkorak kepala retak di bahagian belakang dan tulang leher patah dipercayai akibat dipukul teruk oleh suspek,” kata beliau dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambah Zam Halim, siasatan awal mendapati mangsa terlibat dalam perselisihan faham dan bertengkar dengan seorang individu lelaki tidak dikenalinya.

Katanya, suspek yang merupakan seorang lelaki bertindak memukul muka mangsa berulang kali sehingga menyebabkan mangsa jatuh terlentang dan tidak sedarkan diri.

“Polis kini mempergiatkan usaha untuk mengesan suspek seorang lelaki warga tempatan yang terlibat dalam kes ini.

“Identiti suspek yang sedang diburu polis dikenalpasti sebagai Farid Azizi Jaafar berusia 42 tahun beralamat di 304 Blok 1, Flat Sri Labuan Bandar Tun Razak, Cheras, Kuala Lumpur.

“Punca utama kejadian pertengkaran antara mangsa dan suspek masih dalam siasatan polis dan semakan mendapati suspek yang diburu polis memiliki tiga rekod jenayah lampau dan satu rekod kesalahan dadah,” ujar beliau.

Menurut Zam Halim, mangsa masih dirawat di hospital  dan kes disiasat di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung suspek serta kejadian itu diminta menghubungi Hotline Polis Cheras di talian 03-9284 5050/ 5051, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau pergi ke balai polis berhampiran. -MalaysiaGazette