Ramanan (dua dari kanan) selepas mempengerusikan mesyuarat MITRA di di pejabatnya di sini, hari ini.

PUTRAJAYA – Sebanyak RM20 juta diperuntukkan bagi Program Subsidi Bantuan Pengajian Ijazah Sarjana Muda untuk pelajar India kategori B40 di universiti awam.

Pengerusi Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas (JPPK) MITRA, Datuk R. Ramanan berkata, program itu dikhaskan oleh MITRA untuk mahasiswa tahun kedua pengajian hingga tahun akhir pengajian yang akan menerima bantuan subsidi ‘one-off’ berjumlah RM2,000.

“Untuk tahun pertama pengajian, pelajar ini sudah menerima banyak bantuan. Seramai 10,000 pelajar India B40 di universiti awam akan menerima manfaat (subsidi) ini,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat MITRA, di sini, hari ini.

Ramanan berkata, program berkenaan dilaksanakan secara kolaboratif bersama Bank Simpanan Nasional (BSN) dan bantuan kewangan itu akan dimasukkan ke dalam akaun penerima yang layak sebelum semester pengajian bermula September atau Oktober depan.

Katanya, permohonan boleh dibuat di laman sesawang rasmi MITRA di www.mitra.gov.my mulai Isnin ini pukul 2 petang sehingga 15 September 2023 pukul 5 petang.

Menurutnya, inisiatif lain adalah Program Subsidi Pendidikan Awal Tadika Swasta (Tamil) yang berdaftar dengan Kementerian Pendidikan (KPM).

Jelas beliau, program itu bakal memanfaatkan 4,500 kanak-kanak India B40 dengan melibatkan perbelanjaan berjumlah RM10.8 juta.

Ramanan yang juga Ahli Parlimen Sungai Buloh berkata, pemberian bantuan subsidi berkenaan adalah bagi mengurangkan isu keciciran dalam pendidikan awal dan masalah literasi serta numerasi kanak-kanak komuniti berkenaan.

“MITRA akan beri subsidi bernilai RM200 sebulan meliputi RM150 yuran dan RM50 sarapan pagi untuk 12 bulan. Subsidi ini akan dibayar terus kepada pengusaha tadika,” ujarnya.

Tambah beliau, permohonan bagi program tersebut dibuka sejak 17 April lepas dan akan dilanjutkan sehingga 28 Mei ini .

Sementara itu, bagi Program Subsidi Bantuan Dialisis, Ramanan berkata, ia disasarkan kepada 900 pesakit kronik buah pinggang membabitkan masyarakat India kategori B40 dengan peruntukan berjumlah RM8.64 juta.

Jelasnya, pesakit akan menerima bayaran subsidi sebanyak RM200 bagi satu sesi dialisis membabitkan bayaran empat kali sebulan atau seminggu sekali, selama setahun.

“Permohonan akan dibuka mulai 8 Mei jam 2 petang sehingga 30 Ogos jam 5 petang. Permohonan boleh dibuat di laman sesawang rasmi MITRA dan diproses berdasarkan ‘first come, first serve’,” kata beliau. – MalaysiaGazette

 

3 Komen

Comments are closed.