KUANTAN – Sepasang remaja mengaku bersalah di Mahkamah Khas Trafik, di sini, hari ini atas pertuduhan terlibat aksi wheelie motosikal di Jalan Chendor, Kuantan menghala ke Kemaman, Terengganu baru-baru ini.

Kedua-dua tertuduh yang berusia 17 tahun membuat pengakuan itu selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Fatinah Abu Bakar.

Mengikut pertuduhan, tertuduh pertama didakwa menunggang sebuah motosikal jenis Honda EX5 berwarna putih dengan aksi mengangkat tayar depan yang mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya lain.

Tertuduh yang bekerja sebagai tukang cuci kereta didakwa melakukan perbuatan itu di Jalan Chendor, Kuantan menghala ke Kemaman, Terengganu pada jam 5.30 petang 12 Mac lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi lima tahun selain denda tidak kurang RM5,000 dan tidak melebihi RM15,000 jika sabit kesalahan.

Manakala pasangannya yang membonceng motosikal tersebut juga didakwa mengikut seksyen dan akta sama kerana membantu melakukan aksi merbahaya tersebut yang boleh menjejaskan keselamatan pengguna jalan raya lain.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi lima tahun selain denda tidak kurang RM5,000 dan tidak melebihi RM15,000.

Pendakwaan dikendalikan Pendakwa Raya Inspektor Nafizah Ismail, manakala pasangan remaja itu tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Nafizah menawarkan wang jaminan sebanyak RM2,000 dikenakan bagi setiap seorang, namun kedua tertuduh merayu agar jumlah itu dikurangkan.

Mahkamah kemudian bersetuju mengenakan ikat jamin RM800 bagi setiap seorang dan menetapkan 6 Julai depan untuk laporan sosial atau tingkah laku daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Media sebelum ini melaporkan sepasang kekasih ditahan sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Kuantan pada 1 Mei lalu selepas tular video melakukan aksi ‘wheelie’. – MalaysiaGazette