Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd. Razali diiringi anggota polis berjalan keluar selepas didapati bersalah atas pertuduhan mengabai dan menganiaya remaja perempuan sindrom Down berusia 13 tahun yang dikenali sebagai Bella di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 03 MEI 2023.

KUALA LUMPUR – Pasukan peguam yang mewakili Siti Bainun Ahd Razali mempersoalkan mengapa permohonan pendengaran untuk menangguhkan hukuman penjara ke atas Pengasas Rumah Bonda itu masih belum diproses oleh mahkamah.

Farhan Maaruf berkata, pihaknya telah memfailkan permohonan penangguhan hukuman itu Rabu lalu, sejurus selepas Hakim Izralizam Sanusi menjatuhkan hukuman terhadap aktivis kanak-kanak tersebut.

“Dalam kes ini ada keperluan dipercepatkan dan kerana itulah pemfailan telah di buat pada hari yang sama keputusan dibuat. Pihak kami juga telah memfailkan perakuan segera bagi tujuan pendengaran dengan kadar segera. 

“Kami ambil contoh kes yang melibatkan sehingga lapan kematian mangsa sebelum ini, mahkamah memproses pendengaran dengan kadar segera, mengapa untuk kes anak guam kami ianya masih tidak di proses?

“Kami amat berharap mahkamah akan dapat bertindak segera bagi satu proses yang adil dapat di jalankan ke atas anak guam kami,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kelmarin, Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun terhadap Siti Bainun atas dua tuduhan mengabai dan menganiaya remaja perempuan sindrom Down, Bella tiga tahun lalu.

Bagaimanapun wanita itu hanya perlu menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas mahkamah memerintahkan semua hukuman penjara berjalan serentak dari tarikh sabitan bermula kelmarin.

Siti Bainun kini menjalani hukuman di Penjara Kajang sementara menanti pendengaran penangguhan hukuman. – MalaysiaGazette