ACP Vijaya Rao

KUALA LUMPUR – Seorang penternak kambing mati ditetak dua individu semasa sedang mengembala kambing di Kampung Perepat, Kapar, Klang semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao berkata, pihaknya menerima satu laporan polis berkaitan insiden itu kira-kira jam 5.15 petang.

“Sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Klang Utara telah bergegas ke lokasi dan siasatan awal yang dijalankan mendapati, kejadian berlaku ketika mangsa seorang lelaki tempatan berumur 46 tahun itu sedang membawa beberapa ekor kambing miliknya di lokasi kejadian.

“Tiba-tiba mangsa didatangi dua lelaki tidak dikenalinya menaiki motosikal sebelum bertindak menetak mangsa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Vijaya Rao, akibat tetakan beberapa kali oleh suspek, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian tangan, kepala dan badan.

“Mangsa yang berlumuran darah penuh di badan telah dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang untuk rawatan segera namun telah disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan oleh pegawai perubatan di hospital tersebut.

“Kes ini sedang disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman mati jika disabitkan kesalahan dan polis telah mempergiatkan usaha memburu kedua-dua suspek tersebut,” katanya sambil menambah motif kejadian masih disiasat..

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan insiden itu diminta menyalurkannya di balai polis berhampiran atau menghubungi pegawai penyiasat, Asisten Superintendan Hanis Idris di talian 019-909 9763 atau Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara 03-3291 2222. – MalaysiaGazette