Gambar hiasan.
PETALING JAYA – Permintaan terhadap bilik sewa yang tinggi telah mendorong kemunculan “rumah potong” untuk menyewakan bilik dengan harga mahal.

Rumah potong selalunya dirujuk kepada perbuatan pemilik mengubah suai rumah kepada bilik-bilik kecil dan menyewakannya untuk mengaut keuntungan.

Permintaan terhadap bilik-bilik kecil itu tetap tinggi walaupun mahal kerana terdapat golongan yang tidak mampu menyewa satu unit rumah.

Nanyang Siang Pau melaporkan, hasil sewa bilik secara berasingan mampu mendatangkan hasil sehingga 50 peratus lebih tinggi berbanding menyewakan satu unit rumah.

Dengan “memotong rumah” untuk mewujudkan lebih banyak bilik, hasil sewa juga akan meningkat.

Walau bagaimanapun, tindakan “memotong” atau mengubah suai rumah tanpa mengikuti peraturan boleh mengundang denda sehingga RM2,000, malahan boleh dipenjara tidak melebihi enam bulan.

Pengasas Sublet Doctor, Charles Kwong berkata, pasaran hartanah telah berubah daripada “beli rumah untuk duduk” kepada “sewa bilik” selepas pandemik.

Beliau berkata, statistik iBilik menunjukkan jumlah orang yang bertanya mengenai atau mencari bilik sewa telah mencecah 800,000 sebulan iaitu lebih satu kali ganda tinggi berbanding 300,000 pada tiga tahun lalu.

Charles juga menjangkakan bahawa permintaan terhadap bilik sewa akan kekal tinggi pada lima tahun akan datang.

“Dengan gaji yang rendah iaitu hanya dua peratus graduan mempunyai pendapatan RM5,000 ke atas dan pendapatan purata pekerja berumur 20 hingga 34 tahun adalah RM2,600, mereka sukar menyewa satu unit rumah,” katanya kepada Nanyang Siang Pau.

Beliau berkata, permintaan terhadap bilik sewa yang tinggi seterusnya mendorong penyewa “memotong” unit yang disewa dan menyewa kepada lebih banyak orang.

Katanya, tindakan mengubah suai tanpa kebenaran pihak berkuasa dan juga pemilik rumah bagaimanapun adalah melanggar peraturan.

Menurutnya, Akta Kerajaan Tempatan 1976 juga melarang kediaman menjadi terlalu sesak dan membawa mudarat. – MalaysioaGazette