Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi

ALOR GAJAH – Proses pembahagian kerusi membabitkan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang sudah hampir selesai.

Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, keputusan itu juga akan dimaklumkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu mesyuarat, Ahad ini.

Ahmad Zahid berkata, pada mesyuarat itu Anwar yang juga Pengerusi Gabungan Parti-parti Politik Kerajaan Perpaduan akan mendengar persiapan untuk menghadapi PRN di enam buah negeri.

“Setakat ini persiapan kami adalah untuk menentukan kerusi-kerusi yang akan diagihkan dan di peringkat negeri-negeri, Insya-Allah ianya telah hampir selesai perundingan antara BN dan PH.

“Selepas ianya diselesaikan, semua keputusan negeri-negeri akan dibawa ke parti masing-masing sebelum ianya diadakan perundingan di peringkat nasional untuk kita memuktamadkannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri UMNO Melaka di Kediaman Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh di Villa D’Acqua, Masjid Tanah, di sini, malam tadi.

Mengulas lanjut Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO berkata, kebanyakan negeri telah mendapat kesefahaman yang baik mengenai pembahagian kerusi di antara pemimpin-pemimpin parti.

“Mana-mana kerusi yang akan diselesaikan antara parti-parti BN, ianya akan diselesaikan secara dalaman terlebih dahulu.

“Begitu juga saya yakin parti-parti dalam PH, namun kami memandang penting PRN ini kerana ianya merupakan manifestasi terhadap pengiktirafan kepada kerajaan perpaduan yang memimpin Malaysia keseluruhannya,” katanya.

Tambahnya, segala persiapan akan dibuat serapi yang mungkin namun apa yang lebih penting adalah kerjasama antara jentera parti bukan sahaja diperingkat negeri tetapi diperingkat Pusat Daerah Mengundi (PDM) dan juga di peringkat lokaliti.

Media sebelum ini melaporkan enam negeri sepakat membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada dua minggu terakhir Jun ini bagi memberi laluan kepada PRN.

Negeri-negeri berkenaan ialah Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan, Kedah, dan Terengganu sekaligus menyaksikan PRN diramal berlaku Julai ini. – MalaysiaGazette.