Wan Ahmad Fayhsal ADUN Ijok gimik politik puad zarkashi MPN demokrasi UMNO nor salwani Kerajaan Perpaduan Kit Siang Rafizi ringgit SPRM
Mohd Puad Zarkashi

KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menyifatkan Proklamasi Orang Melayu yang diasaskan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hanya gimik politik.

Menurut beliau, berdasarkan rekod lalu, Dr Mahathir dan Pas yang menyokong proklamasi berkenaan tidak boleh dipercayai.

“Pas pernah memeterai Proklamasi Muafakat Nasional (MN) bersama UMNO. Air mata membasahi Dewan Merdeka.

“Tetapi selepas itu Pas khianati UMNO kerana menyertai Perikatan Nasional (PN), katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Sebelum ini, Abdul Hadi dan beberapa pemimpin Pas menandatangani Proklamasi Orang Melayu, selepas tular beberapa gambar Selasa lalu yang menunjukkan pertemuan dengan Dr Mahathir.

Selain itu, tiga pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) iaitu Timbalan Presiden, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; Ketua Penerangan, Datuk Razali Idris dan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid menandatangani proklamasi berkenaan atas kapasiti peribadi.

Mohd Puad berkata, difahamkan bahawa Bersatu menolak kerjasama dengan Dr Mahathir justeru sokongan beberapa pemimpin Bersatu secara individu terhadap proklamasi itu tidak menampakkan kesepakatan dalam parti tersebut.

“Persoalannya apakah Pas buta? Sepatutnya Pas tidak lupa Dr Mahathir menyokong ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) dan Statut Rom.

“UMNO dan Pas terpaksa bergabung menghalangnya,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta sandiwara politik tersebut dihentikan sambil menyifatkan proklamasi berkenaan hanya provokasi untuk mengganggu kelancaran Kerajaan Perpaduan. – MalaysiaGazette