Proklamasi orang melayu
Khairuddin Abu Hassan

KUALA LUMPUR – Sekretariat Proklamasi Orang Melayu menjemput Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Abdul Samad untuk mendapatkan pencerahan mengenai teras perjuangannya yang tidak berteraskan parti dan bukan bermotif politik.

Pengerusi Biro Mobilisasi sekretariat berkenaan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berharap agar selepas sesi pencerahan itu, semua pemimpin Melayu termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan ahli-ahli parti politik boleh menandatangani borang proklamasi tersebut.

“Kami sanggup bekerjasama dengan semua orang Melayu yang mempunyai semangat yang sama ke arah memartabatkan semula maruah Melayu serta memantapkan kedudukan anak bangsa dalam semua bidang di tanah air yang tercinta,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kelmarin, Khalid dalam satu kenyataan menyifatkan pertemuan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang sebagai ‘pakatan Ahzab’ untuk memporak-perandakan negara serta boleh menjatuhkan kerajaan.

Khairuddin menambah, pintu Sekretariat Proklamasi Orang Melayu terbuka luas kepada semua orang Melayu tanpa mengira fahaman atau ideologi politik.

Menurut beliau, mereka boleh bersama Proklamasi Orang Melayu sekiranya mempunyai pendirian atau prinsip yang sama iaitu memperjuangkan agenda memperkasakan semula orang Melayu di negara ini.

“Apa yang sedang diusahakan oleh Dr Mahathir dan Abdul Hadi bersama pemimpin-pemimpin Melayu yang lain bukan agenda politik untuk menjatuhkan kerajaan dan sebagainya.

“Agenda Proklamasi Orang Melayu adalah satu wadah perjuangan untuk mengenal pasti setiap permasalahan orang Melayu dan mencari solusi efektif secara berkekalan bagi menjamin kesejahteraan masa depan anak bangsa kita,” jelasnya.

Khairuddin berkata, Malaysia adalah sebuah negara pelbagai kaum yang amat harmonis dan gerakan Proklamasi Orang Melayu tidak akan mengizinkan sesiapa pun mensabotaj hubungan tersebut. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Din Sardin muncul kembali dari gua disebabkan musim pilihanraya nak menjelma. Abis pilihanraya mohon masuk gua balik dan sila mereput.

Comments are closed.