Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir

KUALA LUMPUR – Seorang ibu rakyat Malaysia serta suaminya warga Sudan dan dua anak mereka yang terperangkap di wilayah Al Gaza ekoran konflik di Sudan, akan dihantar pulang ke Malaysia, esok.

Menurut Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, ketiga-tiga rakyat Malaysia itu kini sudah berada di Pangkalan Tentera Laut King Faisal, Arab Saudi.

“Ketibaan mereka disambut oleh Pegawai Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah dan kemudian dibawa ke tempat penginapan yang telah disediakan oleh Kerajaan Arab Saudi.

“Ketiga-tiga mereka dijangka akan tiba di tanah air pada jam 05.00 pagi (waktu Malaysia), 7 Mei 2023 melalui pesawat Saudia SV842 yang telah diuruskan sepenuhnya oleh Wisma Putra dan Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Keluarga berkenaan sebelum ini selamat meninggalkan Sudan dengan menaiki kapal tentera laut Arab Saudi, ‘Amanah’ pada tengah malam tadi waktu Malaysia.

Keluarga itu dilaporkan tidak berdaftar dengan kedutaan Malaysia dan maklumat mengenai mereka diterima melalui Facebook Messenger Kedutaan Besar Malaysia di Sudan pada 30 April lalu.

Dalam pada itu, Wisma Putra berkata, pihaknya meminta individu yang mendapati saudara mereka masih berada di negeri bergolak itu supaya menghubungi Kementerian Luar. – MalaysiaGazette