KUALA LUMPUR – Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil hari ini menyantuni dan menyampaikan sumbangan kepada wartawan veteran Mohd Sidek Salleh yang sedang menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL), menerusi program Kasih@HAWANA 2023.

Mohd Sidek, 67, yang merupakan bekas Penolong Pengarang Utusan Melayu (M) Bhd ditempatkan di sebuah wad selepas menjalani pembedahan pada 3 April lepas akibat kanser usus.

Bercakap kepada Bernama, Fahmi berkata, inisiatif Kasih@HAWANA 2023 adalah program tanggungjawab sosial korporat (CSR) sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2023 pada 29 Mei ini bagi mengutamakan aspek kebajikan komuniti media yang berdepan dengan kesukaran dan cabaran hidup.

“Kita lihat memang aspek kebajikan (pengamal media) satu perkara yang perlu kita fikirkan… (contohnya) kalau mereka telah diberhentikan atau berada dalam keadaan tidak boleh bekerja, apa bentuk keselamatan sosial yang boleh diberi.

“Alhamdulillah, saya lihat keadaan beliau (Mohd Sidek) bersemangat dan masih perlu sedikit masa sebelum beliau dibenarkan pulang dan meneruskan rawatan… saya pasti ada organisasi lain yang turut membantu tetapi sokongan moral itu bagi saya sangat penting,” katanya di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Roslan Ariffin, Ketua Penyiaran (TV dan Radio) Bernama merangkap Pengarah Projek HAWANA 2023 D. Arul Rajoo serta Timbalan Pengarah (Perubatan) III HKL Dr Fairoz Azlim Muslim.

Pada program itu, Fahmi menyampaikan sumbangan daripada Jawatankuasa Induk HAWANA 2023 serta bantuan oleh Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD), Pusat Pakaian Hari-Hari, Mydin dan Aeon Big kepada Mohd Sidek.

Mohd Sidek, yang kini berkerja sebagai pengawal keselamatan, pernah menyandang beberapa jawatan penting ketika bersama Utusan Malaysia termasuk Pewarta Utusan di London pada 1985 dan Ketua Biro Utusan Perak pada 1989.

Selain itu, beliau juga pernah memegang jawatan Penolong Pengarang Mingguan Malaysia pada 1996, Penolong Ketua Penyunting (1997) dan jawatan terakhirnya Penolong Pengarang Utusan Malaysia pada 2006.

Mohd Sidek adalah penerima bantuan kedua selepas seorang lagi bekas wartawan Utusan Melayu (M) Bhd, Muhammad Basir Abu Bakar, 44, yang menghidap penyakit jantung dan turut diberikan sumbangan pada 14 April lepas sempena program Kasih@HAWANA 2023.

Program Kasih@HAWANA yang dilaksanakan melalui Bernama selaku agensi pelaksana HAWANA 2023 merancang untuk menyantuni wartawan dan petugas media yang memerlukan, sama ada yang masih dalam perkhidmatan mahupun yang telah bersara di seluruh negara. – Bernama