Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail beramah mesra dengan mahasiswa dan mahasiswi selepas Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri bersama Majlis Mahasiswa Anak Pahang (MAMPAN) di Dewan Tun Razak 3, Pusat Dagangan Dunia (WTCKL), Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 06 MEI 2023.

KUALA LUMPUR – Dakwaan Perikatan Nasional (PN) kononnya mempunyai angka 126 kerusi Parlimen yang membolehkan mereka menukar kerajaan hanya khabar angin semata-mata.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, tambahan pula bukan mudah untuk pembangkang bertukar menjadi kerajaan dengan pelaksanaan Akta Lompat Parti.

“Itu (hanya) desas desus saja. Jangan dengar khabar angin. Sesiapa pun boleh bercakap mengenai jumlah dan angka, tetapi yang tersebar sekarang hanya daripada seorang dia (pemimpin PN) sahaja.

“Mereka harus ingat, mereka terikat dengan Akta Lompat Parti. Jika mereka nak lompat parti, mereka wajib kosongkan kerusi yang dimenangi atas tiket parti yang mereka wakili atau bertanding pada PRU-15 yang lalu.

“Apabila mereka kosongkan, Pilihan Raya Kecil (PRK) mesti diadakan. Sekarang tidak seperti dahulu, kalau cukup angka, mereka boleh bawa ke Parlimen dan Istana Negara mengatakan kami cukup angka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika menghadiri sambutan Hari Raya Aidilfitri Majlis Mahasiswa Anak Pahang (Mampan) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini.

Sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bermula pukul 2 hingga 4.30 petang itu dihadiri lebih 5,000 anak Pahang yang berada di sekitar Lembah Klang.

Baru-baru ini, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Bersatu, Dr. Muhammad Faiz Na’aman membayangkan kerajaan bakal tumbang apabila PN mempunyai angka 126 kerusi.

Beliau turut memberi bayangan gerakan itu bukan satu spekulasi dan mungkin akan berlaku.

Bagaimanapun, mengikut Akta Lompat Parti, setiap ahli Parlimen bertindak keluar parti yang dimenangi pada PRU secara automatik akan gugur tarafnya sebagai wakil rakyat dan PRK perlu diadakan.

Namun khabar angin turut bertiup kencang mengatakan, sebahagian daripada Ahli Parlimen UMNO yang menang PRU lalu tetapi telah dipecat dan digantung bakal menyertai PN, sekali gus mengurangkan jumlah 146 yang dimiliki kerajaan  sekarang.

Mengulas lanjut, Wan Rosdy menjelaskan, perbezaan sekarang ialah sekiranya ada ahli Parlimen mahu lompat parti, mereka perlu mengosongkan kerusi berkenaan dan bertanding semula dalam PRK.

“Sekarang ini berbeza, mereka tidak boleh mendakwa cukup angka. Mereka kena keluar dari parti itu dan kena melalui proses PRK. Ia bukan semudah itu.

“Tapi saya menafikan desas desus itu. Cuma saya nak beritahu, tidak semudah itu untuk lompat parti, untuk tukar kerajaan kerana bila kuatkuasa Akta Lompat Parti ini sukar untuk mengubah kerajaan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. MB PERAK DAN PAHANG adalah contoh MB PINTU BELAKANG….bila tiada MAJORITI pada PRU 15 Terpaksa BERPAKAT SUJUD di LUAR TABIEE bersama DAPIGS demi KUASA PANGKAT DAN HARTA DUNIAWI

    menelan FATWA UMNO …NO ANWAR NO DAPIGS

Comments are closed.