Gambar hiasan.

IPOH – Mayat lelaki tanpa identiti ditemukan dalam keadaan reput di Tasik Bukit Merah di Bagan Serai, semalam.

Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata pihaknya menerima maklumat pada pukul 3.30 petang mengenai penemuan satu mayat dalam keadaan tertiarap dan terapung dengan keadaan mayat sudah menggelembung dan mereput.

“Pemeriksaan lanjut mendapati mayat mempunyai tatu pada lengan kanan, bahu kanan dan kiri dan terdapat tulisan ‘ushra’ di lengan kanan mayat.

“Hasil siasatan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian mendapati tada unsur perlakuan jenayah di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan.

Mohd Yusri berkata mayat terbabit akan menjalani proses bedah siasat di Hospital Parit Buntar dan buat masa ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Pihak polis meminta orang ramai yang kehilangan ahli keluarga atau mempunyai sebarang maklumat supaya menghubungi balai polis terdekat atau Bilik Gerakan IPD Kerian menerusi talian 05-7212222.- BERNAMA