Keadaan motosikal mangsa yang remuk selepas bertembung dengan sebuah lori dalam kemalangan di simpang menghala Taman Pinggiran  Netas di Mentakab semalam.

TEMERLOH – Seorang lelaki maut apabila motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan sebuah lori di simpang menghala Taman Pinggiran  Netas, Mentakab semalam.

Dalam kejadian 11.50 pagi semalam, Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Azhar Mohd Yusoff berkata, mangsa merupakan lelaki berusia 26 tahun maut di lokasi kejadian di Kilometer 142, Jalan Kuala Lumpur-Kuantan.

“Siasatan yang dualankan, mendapatl pemandu lori satu tan jenis Hiace yang dipandu oleh seorang lelaki berumur 37 tahun dalam perjalanan dari arah Kuantan menghala ke Kuala Lumpur.

“Semasa hendak membelok ke simpang di sebelah kanan menghala ke Perumahan Taman Pinggiran Netas datang sebuah motosikal jenis Yamaha Y15zr yang ditunggang oleh mangsa dari arah bertentangan.

“Berdasarkan kepada keterangan saksi yang melihat kejadian, motosikal tersebut dipercayai sedang memotong di laluan kiri sebuah lori lalu melanggar bahagian tayar belakang sebelah kiri lori tersebut,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Tambah Mohd Azhar, akibat daripada kemalangan itu, penunggang motosikal mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.

Kes disiasat dibawah seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan pihak polis menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian untuk tampil di mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan atau boleh hubungi Cawangan Trafik IPD Temerloh di talian 09-2716086.

Mohd Azhar meminta orang ramai terutama sekali pengguna jalan raya  supaya peka dan lebih berhati-hati semasa memandu serta mematuhi segala peraturan dan papan tanda jalan raya. – MalaysiaGazette