GOMBAK – Perikatan Nasional (PN) tidak ada membuat sebarang (kumpul) SD (Akuan Bersumpah), kata Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Ahmad Faizal yang lebih dikenali Peja berkata, PN akan terus istiqamah sebagai pembangkang dan menumpukan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri.
“PN tak ada buat SD apa, kita memang ada 74 kerusi dan kita istiqamah, kita perlu jalankan tanggungjawab sebagai pembangkang berwibawa dan itu yang akan teruskan.
“Dan fokus PN hari ini cuba mengekalkan kerajaan di Terengganu, Kelantan, Kedah dan cuba mencari jalan untuk mengambil kerajaan di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan,” katanya kepada media selepas menghadiri Rumah Terbuka ADUN Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham di sini hari ini.
Turut sama adalah Pengerusi Perhubungan PN Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Ahmad Faizal berkata demikian mengulas pertanyaan media mengenai kenyataan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Dr Muhammad Faiz Na’aman mengenai angka 126 yang mengundang spekulasi Kerajaan Perpaduan akan tumbang.
Pada Isnin lalu, Muhammad Faiz memuatnaik stutus di Facebooknya semalam dengan ‘126 dah…jika benar Alhamdulillah’.
Hantaran itu dikaitkan dengan jumlah sokongan terhadap Perikatan Nasional (PN) yang kini sebanyak 126 kerusi.
Dalam pada itu, Ahmad Faizal turut menafikan wujud SD untuk melantik Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin menjadi Perdana Menteri yang baharu.
“I don’t think so, I don’t believe so (Saya tidak rasa begitu, saya percaya itu tidak berlaku).
“Kita dalam semangat Syawal hari ini tak perlu fikir sangat. Mari fokus bagi khidmat pada rakyat, eratkan silatirahim dalam bulan Syawal itu yang perlu kita buat,” tegasnya Ahmad Faizal lagi.
Sebelum ini terdapat gabungan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin itu kini memiliki SD yang memberi sokongan majoriti kepada Hamzah untuk menjadi Perdana Menteri baharu.
Difahamkan, surat akuan itu melebihi 120 jumlah Ahli Parlimen dan akan diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong sebaik pulang dari London. – MalaysiaGazette