Ijazah Kehormat Doktor Falsafah yang disampaikan oleh Canselor Universiti MAHSA, Tun Zaki Tun Azmi bagi menghargai bekas Menteri Sumber Manusia terhadap pelbagai pencapaiannya selama beberapa dekad bergelar ahli politik.

KUALA LUMPUR – Institusi Pengajian Tinggi (IPT) terkemuka, Universiti Mahsa hari ini menganugerahkan  Ijazah Kehormat Doktor Falsafah  kepada Ahli Parlimen Tapah, Datuk Seri Dr M. Saravanan.

Anugerah berprestij itu diberikan sebagai penghargaan tertinggi kepada segala sumbangan Saravanan yang juga Timbalan Presiden MIC kepada pembangunan sumber manusia, pembangunan masyarakat dan negara.

Ijazah Kehormat Doktor Falsafah itu yang disampaikan oleh Canselor Universiti MAHSA, Tun Zaki Tun Azmi bagi menghargai bekas Menteri Sumber Manusia terhadap pelbagai pencapaiannya selama beberapa dekad bergelar ahli politik.

MalaysiaGazette turut difahamkan, Universiti Mahsa juga tertarik dengan segala usaha dan sumbangan Saravanan dalam meratifikasi Protokol 29 Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) yang merupakan protokol dalam Konvensyen Buruh Paksa.

Kata Saravanan, beliau bukan sahaja teruja sebaliknya tersentuh dengan pengiktirafan ini kerana beliau sentiasa komited dalam memastikan suara dan agenda kerajaan untuk memperkasakan rakyat dan negara itu kekal objektifnya.

“Salah satu usaha saya dalam meratifikasikan Protokol 29 ILO. Kita ketika itu amat komited untuk menghapuskan buruh paksa di negara ini. Apabila pengiktirafan seperti ini menjadi ukuran kepada usaha saya dan kerajaan, sememangnya saya tersentuh,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Konvokesyen ke-22 Universiti tersebut di Saujana Putra hari ini yang turut dihadiri oleh pengasas Universiti Mahsa yang juga Ahli Dewan Negara, Datuk Dr Mohamed Haniffa.

Untuk makluman, Saravanan juga pernah memainkan peranan penting dalam menguruskan pekerja asing dengan berdepan dengan pelbagai isu serta kritikan memandangkan perkara ini turut melibatkan hubungan dengan negara luar.

Antara isu termasuklah masalah pekerja yang tidak menerima layanan yang adil dan mengambil inisiatif menguatkuasakan Akta 446 sebagai satu prasyarat sebelum majikan dapat membawa masuk pekerja juga diberi fokus utama sepanjang beliau menjadi menteri. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast