Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Walaupun berdepan saman fitnah sebanyak RM150 juta daripada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak pernah melupakan jasa pemimpin itu atas sumbangan besarnya ke atas syarikat kereta nasional, Proton Holdings Bhd (Proton).

Anwar mengambil kesempatan itu apabila memberi penghargaan kepada Mahathir ketika mengenang kembali perjalanan penubuhan sejak 40 tahun lalu jenama Proton.

Penghargaan itu mendapat tepukan gemuruh para tetamu sebaik sahaja Anwar menzahirkan ucapan terima kasih kepada Mahathir.

Anwar tidak lupa memberi penghargaan kepada Allahyarham Tan Sri Yahya Ahmad yang merupakan individu terbabit dengan pelancaran kereta nasional Malaysia pertama, Proton Saga pada 1985 sebelum dilantik menjadi Pengerusi DRB-Hicom pada 1994.

“Wajar dalam mengenang perjalanan Proton 40 tahun, di pihak pentadbiran Kerajaan Perpaduan sekarang kita ucap terima kasih kepada mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mempunyai sumbangan dalam Proton,” katanya, di sini.

Beliau berkata demikian pada Majlis Sambutan 40 Tahun Proton dan Pelancaran Proton X90 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa (MITEC), di sini, hari ini.

Proton X90 adalah kenderaan tenaga baharu (NEV) pertama syarikat kereta nasional dan kenderaan utiliti sukan (SUV) ketiga dalam senarai model siri-X miliknya.

X90 dijual bermula pada harga RM123,800 sehingga RM152,800.

Sementara itu, Mahathir memainkan peranan penting dalam konsepsi dan kemajuan industri automotif di Malaysia.

Wawasan, idea serta kepemimpinan beliau telah membimbing Proton sejak ia diwujudkan pada 1983.

Beliau bukan hanya mahu melihat kereta national dihasilkan tetapi juga meningkatkan sumbangan sektor automotif kepada ekonomi negara.

Mahathir juga pernah dilantik pengerusi Proton pada 16 Mei 2014.

Beliau yang sebelum ini menjadi penasihat kepada Kumpulan Proton sejak 2003 turut dinamakan Pengerusi Group Lotus plc (Lotus). – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.