PELABUHAN KLANG – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor menyelamatkan empat pemancing yang terkandas selama enam jam berikutan bot mereka mengalami kerosakan di perairan Pulau Tengah.
Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Siva Kumar a/l Vengadasalam berkata, Pusat Operasi (PUSOP) Maritim Negeri menerima aduan daripada Maritime Rescue Sub centre (MRSC) Johor Bahru mengenai insiden yang berlaku di kedudukan 1.6 batu nautika selatan pulau tersebut pada jam 9.45 malam tadi.
“Sejurus menerima maklumat, bot Perkasa 36 yang sedang dalam rondaan operasi telah diatur gerak ke lokasi,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Menurut Siva Kumar, keempat-empat mangsa iaitu Asfian Abu Bakar, 44, bersama anak Arfan Rafiq, 18, dari Shah Alam, Selangor; Zamri Che Ani, 45 (Kuala Lumpur) dan Ahmad Ali, 66 (Ampang) ditemukan memakai jaket keselamatan diselamatkan dan dibawa ke jeti Polis Marin, Pulau Indah. – MalaysiaGazette