NIBONG TEBAL – Tiada sekolah ditutup setakat ini susulan situasi cuaca panas melampau.
Sebaliknya, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, keadaan masih selamat untuk pelajar meneruskan pengajaran dan pembelajaran di sekolah
“Alhamdulillah tidak ada (sekolah) ditutup setakat ini dan kita berada dalam keadaan berjaga-jaga dan bersedia.
“Malah, pengurusan berkaitan dengan garis panduan dan pemantauan ini dilakukan dengan ketat oleh KPM bersama Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim,” katanya.
Beliau menyatakan demikian ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Nibong Tebal di Kampung Permatang Keling, di sini, hari ini.
Hadir sama, Ketua Pengarah Kementerian Pendidikan (KPM) , Datuk Pkharuddin Ghazali.
Mengulas lanjut Fadhlina berkata, KPM masih meneruskan larangan mengadakan aktiviti luar bilik darjah bagi mengelakkan murid sekolah diserang strok haba.
Jelas beliau, penangguhan itu bagaimanapun bersifat sementara dan bergantung keadaan cuaca semasa.
“Kita akan terus pantau selain akan sentiasa beri pedoman garis panduan dan mendapatkan nasihat daripada kementerian berkaitan.
“Buat sementara waktu ini, kita minta tangguhkan sebentar hingga cuaca benar-benar kembali seperti sedia kala dan pelajar kita boleh mengikuti pembelajaran di luar kelas dengan lebih selamat,“ katanya.
Media sebelum ini melaporkan Kementerian Kesihatan (KKM) menasihatkan orang ramai tidak melakukan aktiviti luar rumah jika tiada sebarang keperluan bagi mengelak strok haba.
Menterinya, Dr. Zaliha Mustafa memaklumkan langkah itu membantu mengurangkan risiko terdedah dengan haba tinggi ekoran cuaca panas yang melanda negara. – MalaysiaGazette