KUALA LUMPUR – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) perlu terus memantapkan dan menjayakan bidang tujahannya yang berfokuskan kepada Pembuatan Termaju dan Teknologi Pengkomputeran.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, hubungan bersama industri juga harus dipertingkatkan bukan sahaja berkaitan kebolehpasaran graduan, malah aspek penyelidikan juga perlu diberikan penekanan.
“Usaha-usaha ini perlu digembleng dengan kerjasama antara fakulti dalam meneroka dan mengembangkan ilmu baharu, yang mana hasilnya pula haruslah dikongsi bersama masyarakat agar dapat mengubah dan memantapkan negara,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Beliau mengulas mengenai lawatan kerjanya ke Kampus Teknologi UTeM, kelmarin.
Lawatan itu turut disertai Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Dr Megat Sany Megat Ahmad Supian; Pengerusi Lembaga Pengarah UTeM, Datuk Seri Dr Haji Hasim Hasan, dan Naib Canselor UTeM, Prof Ts Dr Massila Kamalrudin; pengurusan kanan universiti serta wakil pelajar UTeM.
Lawatan dimulakan dengan pembentangan pencapaian serta hala tuju UTeM pada masa akan datang termasuk berkaitan 5 Teras Strategik, program pembangunan usahawan dan mahasiswa, jalinan kerjasama industri dan lain-lain.
Seterusnya, program diteruskan dengan lawatan ke makmal serta teknologi semasa yang digunakan UTeM. – MalaysiaGazette