KUALA LUMPUR – Ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho didakwa menjadi pengarah bayangan bagi semua transaksi pelaburan dana luar pesisir bernilai AS$2.3 bilion.
Bekas Ketua Perkhidmatan Pengurusan Kekayaan di Bank BSI Cawangan Singapura, 1MDB: Saksi dakwa Jho Low adalah ‘pengarah bayangan’ mendakwa Jho Low berperanan memberi arahan kepada pegawai 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang lain seperti Jasmine Loo dan Terence Geh.
Antara arahan Jho Low termasuk memastikan dana berbilion ringgit itu masuk ke syarikat seperti Brazen Sky Limited yang pernah dikaitkan dengan ahli perniagaan tersebut.
“Jasmin atau Terence juga tidak boleh buat keputusan sendiri, hanya Jho Low. Beliau seperti pengarah bayangan dan hanya arahan beliau diambil,” katanya di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah ketika sesi soal balas peguam bela Datuk Seri Najib Razak, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.
Ketika ditanya Muhammad Shafee tentang pernyataan Kevin yang menyatakan Brazen Sky bebas membuat keputusan tentang pemindahan aset dana fidusiari AS$2.3 bilion, saksi itu berkata, Jho Low juga sentiasa dirujuk terutamanya Brazen Sky.
“Melalui pengamatan saya, banyak arahan Jho Low akan dilaksanakan. Banyak arahan dikeluarkan oleh Jho Low,” ujarnya.
Najib berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.
Bekas Perdana Menteri itu berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika didapati bersalah. -MalaysiaGazette