Majlis Anugerah Jenama Pensijilan Pengguna Malaysia berlangsung di Pusat Konvensyen Setia Alam, Shah Alam semalam.

KUALA LUMPUR – Seramai 41 syarikat dipilih menerima Anugerah Pilihan Pengguna Malaysia (CCA) 2023 bagi mengiktiraf sumbangan mereka kepada masyarakat.

Presiden Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN), Datuk Paduka  Dr. Kevy KV Yeo berkata, pihaknya menerima 168 pencalonan di mana semua telah melalui proses penaksiran dan pengauditan yang telus untuk memilih pemenang.

Jelas beliau, aspek kepercayaan pengguna dalam menjadikan produk mahu pun perkhidmatan syarikat  menadi kriteria utama dan telah diambil kira oleh pihaknya.

“Pengiktirafan ini merupakan permulaan untuk pemenang yang telah berjaya dalam mengharungi cabaran ekonomi masa kini dan semoga ianya menjadi contoh dan pembakar semangat kepada mereka yang lain.

“Saya juga ingin menekankan bahawa kejayaan yang dicapai oleh para pemenang adalah kerana mereka telah mendapatkan kepercayaan pengguna sebagai pilihan utama.

“Mereka telah berjaya membina hubungan perniagaan yang kukuh dan memperoleh kepakaran yang mantap. Ini menjadikan mereka lebih meyakinkan dan menjadi rujukan,” katanya ketika berucap Majlis Anugerah Jenama Pensijilan Pengguna Malaysia di Pusat Konvensyen Setia Alam, Shah Alam semalam.

Turut hadir Ketua Penolong Pengarah Bahagian Sumber Manusia, Jabatan Perdana Menteri merangkap Penasihat Kehormat MTPN, Dr. Nik Adi Sukiman Nik Ahmad Pauzi.

Dalam majlis tersebut juga, seramai 22 syarikat lagi berjaya merangkul Anugerah Tokoh Pintar Terbaik (Best Intelligent Figure).

Yeo turut menyifatkan kesemua calon adalah aset yang sangat berharga kepada organisasi dan negara dan mengucapkan tahniah kepada mereka.

“Saya menyeru kepada penerima-penerima anugerah agar kita bersama-sama terus menyumbang kepada pembangunan Malaysia dan dapat menjadikan Malaysia lebih maju dan meletakkan kembali
 Malaysia di persada antarabangsa,” pintanya.

Untuk rekod, majlis anugerah ini merupakan anjuran bersama MTPN dan China Press, yang berobjektifkan memilih elit korporat yang memimpin dan menguruskan syarikat mereka dengan baik. – MalaysiaGazette