KUANTAN – Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan supaya semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang di negeri ini agar memberi pandangan membina kepada pihak kerajaan.
Titah baginda, pembangkang perlu memberi pandangan membina dalam mewarnai lansdkap politik dan tidak hanya menghentam semua yang kerajaan lakukan kepada rakyat di Pahang.
“Apa yang baik berilah pujian, apa yang kita (kerajaan) kurang berikan pandangan. Rakyat mahu politik yang stabil dan matang.
”Saya mahu Pahang terus bergerak laju ke hadapan dan mesti menjadi contoh kepada negeri dan negara lain,” titahnya.
Baginda bertitah demikian pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang di Kuantan pada hari ini yang turut dihadiri Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Tengku Hassanal dalam titahnya menasihatkan juga kepada pegawai kerajaan dan penjawat awam supaya melaksanakan tugas dengan pantas.
“Proses birokrasi dan menyusahkan, buang jauh-jauh. Kepada majikan swasta juga sama, kerajaan telah sedia itu, ini, maka pulanglah balik kepada kerajaan dalam bentuk cukai, zakat dan program khidmat masyarakat.
“Apabila sudah untung lebih, jangan lupa beri beri semula kepada pekerja. Ada untung lebih bayarlah gaji pekerja lebih sikit atau beri bonus lebih baik,” titah baginda.
Sementara itu Tengku Hassanal juga menitahkan agar kerajaan Pahang memberikan peruntukan adil kepada ADUN pembangkang di negeri ini sejajar perkembangan politik dalam negara.
“Dalam 66 tahun ini sepatutnya telah matang dan yang menjadi kerajaan raikan pembangkang kerana mereka juga telah dipilih oleh rakyat.
“Peruntukan yang adil perlu diberikan kepada pembangkang juga,” titah baginda.
Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-15 berlangsung selama lima hari bermula hari ini hingga Jumaat. – MalaysiaGazette