NEW DELHI – Tiga orang awam maut apabila sebuah pesawat pejuang, MIG-21, milik Tentera Udara India (IAF) terhempas dekat Suratgarh, Rajasthan semasa melakukan latihan rutin hari ini.
Menurut kenyataan IAF, bangkai pesawat tersebut terhempas di atas sebuah rumah di Bahlol Nagar, daerah Hanumangarh menyebabkan tiga orang kehilangan nyawa.
Katanya, dalam kejadian jam 9.45 pagi waktu tempatan juruterbang yang berhadapan dengan situasi kecemasan cuba mengawal pesawat mengikut prosedur sedia ada.
“Gagal melakukannya, dia menyelamatkan diri (dengan kerusi anjal) dan mengalami kecederaan ringan,” menurut kenyataan yang mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa.
Katanya, juruterbang tersebut ditemui 25 kilometer di timur laut pangkalan udara Suratgarh.
IAF merancang untuk menghentikan operasi pesawat MIG-21 secara berperingkat menjelang 2025, – Agensi