Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR- Kementerian Kesihatan (KKM) sedang membuat semakan semula dan mengemas kini garis panduan Covid-19 berkaitan transisi jangka masa panjang pandemik itu dengan merujuk kepada kenyataan daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO)

Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berkata, berdasarkan penilaian situasi semasa Covid-19, status kawasan tempatan jangkitan tetap akan diteruskan hingga 30 Jun ini seperti mana yang ditetapkan sebelum ini.

“Pengisytiharan Malaysia sebagai kawasan tempatan jangkitan adalah perlu bagi memenuhi keperluan isolasi atau pengasingan kes Covid-19 di mana-mana tempat selain hospital dan keperluan majikan menanggung kos rawatan dan ujian Covid-19 yang diarahkan oleh pegawai diberi kuasa untuk dijalankan kepada pekerjanya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Dr. Zaliha, penilaian risiko situasi jangkitan Covid-19 dalam Malaysia akan dilaksanakan pada pertengahan Jun 2023 bagi menyemak semula pengisytiharan kawasan tempatan jangkitan untuk menentukan hala tuju seterusnya.

Jawatankuasa Darurat International Health Regulations yang berlangsung 4 Mei lalu di Geneva memutuskan Covid-19 bukan lagi Kecemasan Kesihatan Awam Yang Menjadi Kepentingan Antarabangsa.

Keputusan itu mengambil kira tren global yang menunjukkan penurunan bagi kes kematian Covid-19, kemasukan kes ke hospital dan Unit Rawatan Rapi (ICU) serta tahap imuniti populasi dunia terhadap virus SARS-CoV-2 yang tingi.

Pemantauan varian virus SARS- CoV-2 juga menunjukkan ia tidak menyebabkan jangkitan Covid-19.

Walaupun virus berkenaan masih berada dalam persekitaran dan terus berevolusi namun ia tidak lagi menjadi sesuatu luar jangka (unexpected) atau luar biasa (unusual). -MalaysiaGazette