Mohd Shukri Ramli

KANGAR – Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli hari ini membuat laporan polis selepas mendakwa terdapat pihak tertentu menyalahgunakan gambar beliau untuk mempromosi aktiviti pelaburan di Facebook dengan kadar pelaburan serendah RM300.

Beliau membuat laporan berkenaan di Balai Polis Kangar kira-kira 5 petang tadi.

“Saya mula menyedari perkara ini pada 14 April lepas dan telah mengambil tindakan membuat hantaran penafian di laman sosial, namun perkara berkenaan dilihat masih berulang,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan itu.

Menurut Mohd Shukri, beliau juga tampil membuat laporan kerana bimbang jika terdapat individu khususnya pelajar universiti yang akan terpedaya dengan pelaburan itu.

Katanya, terdapat beberapa gambar kepimpinan Pas di Kedah turut diguna oleh pihak tidak bertanggungjawab di laman sama.

“Saya berharap orang ramai tidak mudah terpedaya (aktiviti pelaburan) sebaliknya membuat rujukan dengan pihak berkuasa terlebih dahulu dan segera membuat laporan polis,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Kangar, ACP Yusharifuddin Mohd Yusop ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan daripada Mohd Shukri berkaitan gambarnya digunakan di Facebook oleh pihak tidak bertanggungjawab yang menawarkan pelaburan patuh syariah.

“Menteri Besar membuat laporan polis kerana difitnah dan beliau tidak terlibat dalam aktiviti pelaburan tersebut,” katanya dan menambah pihaknya sedang meneliti kes tersebut sama ada disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 atau Seksyen 500 Kanun Keseksaan. – Bernama