Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin diiringi isterinya, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman tiba di mahkamah bagi menghadapi satu pertuduhan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 di Mahkamah Shah Alam, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 13 MAC 2023.

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu kes rasuah RM232.5 juta yang sedang dihadapinya dibicarakan di Mahkamah Tinggi.

Untuk makluman, ketika ini prosiding kes berkenaan didengar di Mahkamah Sesyen.

Menurut peguam Muhyiddin, Rosli Dahlan, permohonan itu difailkan pada 27 April lalu dan antara alasan kes tersebut melibatkan persoalan undang-undang yang kompleks membabitkan Perlembagaan Persekutuan.

Jelasnya, anak guam beliau mahu kes tersebut dibicarakan dipindah dan dibicarakan di Mahkamah Tinggi.

Penolong Kanan Pendaftar, Nur Azizah Jaafar kemudian menetapkan pengurusan kes selanjutnya pada 31 Mei ini.

Dalam afivadit, Muhyiddin berkata, Mahkamah Sesyen sebenarnya  tidak mempunyai bidang kuasa untuk menentukan atau memutuskan perkara-perkara yang melibatkan Perlembagaan Persekutuan.

Sebaliknya hanya mahkamah atasan iaitu Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan mempunyai kepakaran untuk memutuskan perkara sedemikian.

Jelas Presiden Bersatu itu, adalah wajar bagi perbicaraan itu didengar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi yang mempunyai bidang kuasa, pengalaman luas serta pemahaman undang-undang mendalam untuk menentukan dan memutuskan isu-isu Perlembagaan.

Pada 19 April lalu, Muhyiddin memfailkan permohonan bagi membatalkan empat pertuduhan yang mendakwa beliau menggunakan kedudukannya untuk suapan berjumlah RM232.5 juta bagi Bersatu.

Ahli Parlimen Pagoh itu memohon beliau dilepas dan dibebaskan daripada keempat-empat pertuduhan yang dikenakan terhadapnya pada 10 Mac lalu, selain prosiding kes itu di Mahkamah Sesyen ditangguhkan.

Muhyiddin ketika menjadi Perdana Menteri didakwa telah menggunakan kedudukan beliau untuk suapan berjumlah RM232.5 juta daripada tiga syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn. Bhd., Nepturis Sdn. Bhd. dan Mamfor Sdn. Bhd. serta Datuk Azman Yusoff bagi parti berkenaan. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Pengalaman luas? Hakim yg mengadili DS Najib pun tak ada pengalaman langsung dlm kes jenayah…ok jaaaa blh jd hakim..

  2. Zaman PH la tu pilih hakim hakim takda pglaman. Peguam Negara pn cap ayam tak pandai bahasa melayu.

Comments are closed.