PH pengampunan diraja Najib
Najib Razak

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak enggan mengulas tindakan kerajaan membawa pulang individu yang dikaitkan dengan skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Bekas Perdana Menteri itu berkata, ini kerana prosiding 1MDB masih berjalan.

“Kita akan lihat apa berlaku,” katanya yang ditemui di luar perbicaraan 1MDB, di sini, hari ini.

Minggu lepas, media melaporkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia berjaya membawa pulang seorang individu, dipercayai sekutu ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low yang terbabit dalam kes penyelewengan dana 1MDB dan SRC International Sdn Bhd.

Najib kini sedang menjalani dengan hukuman penjara selepas didapati bersalah menyeleweng RM42 juta dana SRC International.

Najib juga sedang berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya bagi mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Sementara itu, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, tindakan membawa pulang individu yang dikaitkan dengan skandal 1MDB akan memberi kesan terhadap perbicaraan kes itu. – MalaysiaGazette