Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli bercakap kepada media pada Majlis Rumah Terbuka Kementerian Ekonomi di Menara Prisma, Putrajaya. Foto MUHD NA’IM, 08 MEI 2023.

PUTRAJAYA – Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli menegaskan, beliau tidak perlu untuk melayan sebarang kritikan liar daripada pihak luar.

Sebaliknya, beliau hanya akan menumpukan kepada perancangan yang perlu dibuat bagi membangunkan negara.

“Saya tak perlu komen semua kritikan orang. Saya perlu tumpu kepada perancangan yang kerajaan kena buat,” katanya ringkas kepada media ketika ditemui pada Majlis Sambutan Hari Raya di kementeriannya di sini hari ini.

Beliau ditanya wartawan mengenai sindiran veteran UMNO, Tan Sri Shahrir Samad apabila memuat naik satu hantaran di Facebooknya dipercayai menyindirnya

Menerusi laman sosial itu, Shahrir yang merupakan bekas Pengerusi Felda berkata, menjadi pembangkang di negara ini lebih ‘syiok’ berbanding mentadbir kerajaan.

Dakwanya, ketika dalam blok pembangkang, tugas mereka hanyalah memutar belit, menghasut dan memfitnah apa sahaja usaha kerajaan.

Kenyataan itiu dipercayai ditujukan kepada Rafizi yang juga Timbalan Presiden PKR yang tidak berpuas hati dengan parti pembangkang, Perikatan Nasional (PN) berikutan sering mempertikaikan usaha dibuat kerajaan.

Shahrir turut menyertakan bersama keratan sebuah laman portal yang ditulis bagi menunjukkan rasa tidak puas hati Rafizi itu.

Rafizi sebelum ini dilaporkan berkata, segala usaha kerajaan ketika ini dalam memulihkan kembali ekonomi negara sering dipertikaikan segelintir pihak.

Katanya, semua inisiatif kerajaan juga tidak disambut baik oleh pihak berkenaan.

Ia dipercayai ditujukan kepada PN yang didakwa sering mempertikaikan usaha yang dibuat pihak kerajaan. – MalaysiaGazette