Wanita SPRM
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Inisiatif ‘garis masa’ membuktikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telus dalam siasatan khususnya yang melibatkan kes berprofil tinggi.

Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, langkah itu mampu mengurangkan tohmahan pihak luar terhadap suruhanjaya berkenaan.

“Inisiatif ini menunjukkan ketelusan SPRM dalam siasatan kes-kes khususnya yang high profile dan berkepentingan umum, termasuk kes orang kenamaan, ahli politik, kartel, sindiket dan kes yang membabitkan jumlah rasuah yang mega.

“Ia mampu mengurangkan syak wasangka dan tomahan pihak luar yang mendakwa SPRM tidak telus dan menyembunyikan sesuatu kerana ada agenda tertentu,” katanya menerusi kenyataan.

Ujarnya, dalam masa sama ‘garis masa’ di dalam laman web rasmi SPRM akan memudahkan pihak media dan umum untuk mengikuti perkembangan kes-kes menarik yang sudah dipertuduh di mahkamah.

Mengulas lanjut Jais berkata, bagaimanapun semua pihak perlu memahami bahawa maklumat yang disiarkan di ruangan itu adalah terhad, termaktub di bawah Seksyen 29(4) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang menjamin kerahsiaan sesuatu aduan dan siasatan sehingga orang yang tertuduh didakwa di mahkamah.

“Jadi, orang ramai harus faham undang-undang negara dan mengapa SPRM selalunya tidak mendedahkan butiran kes sewaktu siasatan masih dijalankan melainkan memberi pengesahan.

“Dan itu pun selalunya kerana berita tersebut sudah disebarkan oleh pihak lain dalam media atau media sosial dan wartawan meminta pengesahan untuk mengelakkan kekeliruan dan sebaran berita palsu dan tidak sahih daripada berterusan,” jelasnya.

Beliau berpendapat tindakan tersebut dapat dijadikan contoh kepada agensi penguatkuasaan yang lain.

SPRM dilaporkan buat pertama kalinya memaparkan inisiatif ‘garis masa’ bagi memudahkan orang ramai meneliti perjalanan lengkap, siasatan dan perbicaraan kes rasuah berprofil tinggi dan menarik perhatian umum menerusi laman web rasminya.-MalaysiaGazette