badrul hisham shaharin rafizi
Badrul Hisham Shaharin

KUALA LUMPUR – Badrul Hisham Shahari atau dikenali Chegubard mendakwa sudah memperoleh bahan bukti  penglibatan seorang pemimpin Melaka dalam dakwaan jenayah rasuah seks terhadap seorang wanita yang tersebar luas di media sosial sebelum ini.

Ketua Penyelaras Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) itu akan menyerahkan segala bukti beserta dokumen yang diperolehnya kepada pihak berkuasa keselamatan untuk menyegerakan siasatan dalam kes tersebut.

Langkah itu menyusul ekoran daripada satu laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah dibuat masing-masing pada 27 April dan 4 Mei lalu yang telah dibuat selepas terkesan penularan satu video pendek, tangkap layar bersifat lucah tersebar di negeri itu.

“Kami buat dua aduan itu selepas Ketua Menteri Melaka sendiri menyifatkan dakwaan ke atas exco negerinya itu bersifat fitnah semata-mata.

“Oleh demikian, kami telah membuat tawaran RM5,000 kepada sesiapa yang boleh memberikan maklumat mengenai wanita tersebut dan juga menemukan kita dengan perakam video jijik itu.

“Hasilnya, 24 jam lepas, kita telah berjaya bertemu dengan semua maklumat yang dicari selama ini termasuk perakam video berkenaan dan mempunyai maklumat tentang identiti dan tempat kerja wanita yang berhubung dengan exco negeri itu,” katanya ketika ditemui di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi hari ini.

Tambah Chegubard, segala bukti berkenaan telah diperoleh dalam bentuk dokumen dan juga video yang disimpan dalam pena pemacu.

Katanya, beliau berasa  jijik dengan perbuatan Exco berkenaan yang menggunakan wang yang ada untuk membayar wanita berbogel dan disuruh beronani secara langsung dalam video.

“Kebetulan hari ini pegawai polis dari IPD Melaka Tengah telah menghubungi kami dan segala persiapan dibuat yang mana segala bukti-bukti yang kami peroleh dalam kes exco Melaka akan diserahkan kepada pegawai berkenaan di IPD Dang Wangi nanti.

“Maka selepas ini polis tidak akan ada alasan lagi untuk tidak bertindak siasat dan mengambil tindakan susulan dalam isu Exco Melaka itu nanti.

“Oleh demikian, sekarang kami hanya mahu maklumkan kepada Datuk Seri Raof Yusof (Ketua Menteri Melaka) bahawa kita sudah ada segala bukti berkaitan penglibatan Exco mereka dalam bantu siasatan.

“Kami telah turun sehingga lubang cacing dan korek maklumat untuk dapatkan bukti berkenaan dan kini kami juga kenalpasti perakam video lucah itu dan difahamkan dia telah didekati oleh wakil Exco terbabit dan memadam rakaman video dalam gajet dia.

“Maka untuk itu satu lagi laporan polis dibuat juga minta siasatan dijalankan,” ujarnya. – MalaysiaGazette