PUTRAJAYA – Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) bersetuju untuk membentuk pasukan petugas bagi memastikan pelaksanaan rangkaian 5G di bawah Digital Nasional Berhad (DNB) berjaya mencapai 80 peratus liputan di kawasan berpenduduk menjelang penghujung tahun ini.
Menterinya, Fahmi Fadzil berkata, perkara itu adalah susulan pertemuan bersama pihak penyedia perkhidmatan semalam.
Menurut beliau, pasukan petugas tersebut juga berperanan memastikan proses peralihan kepada model dwirangkaian berjalan dengan lancar awal tahun depan.
“Pasukan petugas ini akan dipengerusikan secara bersama oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan Ketua Setiausaha KKD serta diurusetiakan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
“Selain itu, pasukan petugas ini akan turut dianggotai oleh DNB dan penyedia perkhidmatan termasuk CelcomDigi, Maxis, Telekom Malaysia (TM), YTL Communications (YTL) dan U-Mobile serta pihak-pihak lain yang akan ditentukan dari semasa ke semasa.
“Adalah menjadi matlamat utama pasukan petugas ini untuk memantau rangka kerja dan pelan peralihan kepada model dwirangkaian 5G di Malaysia bagi menjamin keteraturan dan ketertiban pelaksanaannya dari aspek perundangan, teknikal dan kewangan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. – MalaysiaGazette