KUALA LUMPUR – Malaysia dan Iran komited meneruskan usaha bersepadu membanteras kegiatan jenayah berkaitan keselamatan siber termasuk sindiket penipuan dalam talian.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, komitmen itu dicapai selepas perbincangan dengan Duta Besar Iran di Malaysia Ali Asghar Mohammadi di pejabatnya di Putrajaya hari ini.
“Menerima kunjungan hormat TYT Ali Asghar Mohammadi, Duta Besar Republik Islam Iran ke Malaysia pagi tadi di KDN (Kementerian Dalam Negeri) Putrajaya.
“Antara perkara utama dan terawal yang dibincangkan adalah terkait isu keselamatan siber dan usaha bersepadu bagi membanteras sebarang jenayah yang melibatkan hal ini seperti sindiket penipuan dalam talian dan sebagainya,” katanya menerusi catatan di Facebook.
Saifuddin Nasution berkata, kedua-dua pihak turut mengulangi komitmen ke arah pemeteraian memorandum persefahaman Pemindahan Banduan Antarabangsa (ITOP) melibatkan kedua-dua negara.
Selain itu, kerjasama dalam penguatkuasaan undang-undang turut disentuh serta menemui titik persefahaman yang cukup membantu dalam hubungan dua hala Kuala Lumpur-Tehran, katanya yang turut memuat naik beberapa keping gambar pertemuan tersebut. – MalaysiaGazette