Simpanan air di empangan Air Itam hanya mampu bertahan selama 40 hari.

GEORGE TOWN – Pulau Pinang bakal mengalami krisis bekalan air berikutan simpanan air di Empangan Air Itam, di sini, hanya dapat bertahan selama 40 hari manakala Empangan Teluk Bahang pula dijangka selama 146 hari.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan negeri, Zairil Khir Johari berkata, situasi berlaku susulan kekurangan taburan hujan di kawasan tadahan sejak beberapa bulan lalu.

Selain itu, Zairil menegaskan, penggunaan air yang tinggi di Pulau Pinang turut menjadi punca kapasiti air di dua empangan tersebut berkurang.

Zairil.

“Data taburan hujan di negeri ini daripada Januari hingga April lalu menunjukkan jumlah lebih tinggi iaitu 593 milimeter (mm) berbanding 530mm dalam tempoh sama tahun lalu.

“Walaupun hujan namun ia bukan berlaku di kawasan tadahan manakala selepas operasi pembenihan hujan baru-baru ini, ada sedikit peningkatan kadar hujan di kawasan itu (tadahan) namun ia masih tidak cukup.

“Setakat ini, simpanan air di empangan Air Itam dapat bertahan 40 hari manakala Empangan Teluk Bahang dijangka bertahan selama 146 hari. Jika situasi ini berterusan empangan tersebut dijangka kehabisan sumber air menjelang Jun ini,” katanya kepada pemberita di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar), di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Zairil menggesa rakyat di negeri ini menjimatkan penggunaan air susulan secara purata seorang penduduk menggunakan 307 liter per kapita sehari.

“Berdasarkan data tahun lalu, kadar penggunaan itu adalah dua kali ganda berbanding Singapura iaitu sebanyak 141 liter per kapita sehari.

“Oleh itu pengguna domestik perlu berjimat cermat menggunakan air dalam aktiviti seharian bagi mengelakkan kita berdepan situasi krisis air,” katanya.

Media semalam melaporkan, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) memaklumkan status bekalan air di negeri ini berada pada tahap waspada berikutan taburan hujan yang rendah.

Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, K. Pathmanathan berkata, hanya sedikit hujan direkodkan ketika gelombang pertama pembenihan awan dijalankan dengan rizab air mentah di Empangan Air Itam dan Teluk Bahang masih di bawah 50 peratus.

Kata beliau, pihaknya juga mengesyorkan dan berharap operasi pembenihan awan gelombang kedua dapat dilakukan di Pulau Pinang tidak lama lagi bagi membantu menangani masalah itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast