Gambar hiasan

GUA MUSANG – Seorang pemandu lori maut dihempap kayu balak ketika cuba menurunkan batang balak berkenaan di sebuah kilang papan di kawasan perindustrian Gua Musang, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Gua Musang Sik Choon Foo berkata kejadian berlaku kira-kira 2.15 petang ketika mangsa Norazlan Hamdan, 53, yang baru dua bulan bekerja cuba menurunkan balak daripada lori dengan kaedah biasa diamalkan iaitu membuka empat rantai bersama kunci kecuali di bahagian tengah.

“Apabila membuka kunci rantai mangsa pergi ke arah kanan lori dan bertindak menarik rantai sebelum sebatang balak tiba-tiba jatuh menimpa bahagian badan mangsa.

“Mangsa telah disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Gua Musang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sik berkata hasil siasatan mendapati tiada unsur jenayah ditemukan ke atas kematian mangsa.

“Berdasarkan hasil bedah siasat dijalankan oleh pegawai perubatan forensik mengesahkan kematian berpunca daripada kehilangan darah yang banyak akibat kecederaan di tempat kerja (Massive Blood Loss Secondary to Rupture Mesenteric Artery Due to Industrial Injury).

“Kes diklasifikan sebagai mati mengejut. Kami mengingatkan supaya mana-mana individu tidak membuat spekulasi dan menghormati privasi keluarga si mati,” katanya.- BERNAMA