Mohd Fared Mohd Khalid

JOHOR BAHRU – Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) akan menjalankan siasatan berhubung dakwaan mengenai kejadian seorang kanak-kanak yang dijemur di tengah panas ketika menghadiri sesi sekolah agama, di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor Mohd Fared Mohd Khalid berkata pihaknya telah pun mengarahkan siasatan dilakukan oleh Bahagian Pendidikan Islam JAINJ berhubung kes itu.

“Kini pihak Pejabat Pendidikan Islam Daerah (PPID) Johor Bahru sedang digerakkan untuk mendapatkan laporan lengkap (berhubung dakwaan itu),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, tular sebuah hantaran di aplikasi Tik Tok dipercayai daripada keluarga kanak-kanak itu yang tidak puas hati dengan tindakan pengurusan sebuah sekolah agama di daerah ini yang didakwa menghukum dengan menjemur kanak-kanak berusia tujuh tahun di tengah panas kerana lambat ke perhimpunan.- BERNAMA