Ibu Pejabat Polis Bukit Aman

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki yang disyaki menghina agama Islam melalui media sosial YouTube telah diberkas oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Setiausaha PDRM, Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, suspek seorang lelaki warga tempatan telah ditangkap di Wangsa Maju pada Selasa lalu.

“Suspek yang berusia 40 tahun dalam satu klip video tular disyaki menghina agama Islam dengan mempersenda ucapan salam.

“Dalam tangkapan itu, polis turut merampas dua buah telefon bimbit dan tiga keping sim kad milik suspek untuk siasatan lanjut polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Noorsiah, kes berkenaan disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian D5, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.

Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan iaitu atas alasan agama menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan, benci membenci atau niat jahat atau memudaratkan perpaduan.

“Siasatan juga diteruskan polis mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

“Permohonan reman telah dipohon terhadap suspek di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah dan dibenarkan selama empat hari iaitu bermula dari 10 Mei hingga 13 Mei ini,” tegasnya.

Sejak Task Force Siasatan 3R (rulers/religion/race) ditubuhkan pada 22 Mac lalu, sebanyak 18 kertas siasatan telah dibuka dan seramai 12 individu telah ditahan.

Siasatan sedang dijalankan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948; Seksyen 298A Kanun Keseksaan; dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“PDRM menasihatkan orang ramai tidak menyalahgunakan media sosial dengan mengeluarkan kenyataan mempersenda yang boleh menimbulkan kemarahan dan rasa benci, mencetuskan ketidakharmonian dan perpaduan kaum, bangsa, agama bahkan boleh menyentuh sensitiviti sistem beraja.

“Tindakan tegas akan diambil mengikut peruntukan undang-undang sedia ada demi melindungi ketenteraman dan kepentingan masyarakat,” ujarnya. – MalaysiaGazette