Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR – Polis menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan berhubung kes bunuh seorang warga emas yang mayatnya ditemukan berlumuran darah di dalam sebuah kereta di kawasan lapang berhadapan sebuah pusat membeli-belah Selayang, Jalan Selayang Baru, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Zainal Mohamed Mohamed berkata lelaki berusia 40-an itu ditahan pada pukul 4 petang semalam oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Gombak.

Beliau berkata dalam kejadian semalam, polis menerima maklumat daripada orang awam pada pukul 10.15 pagi mengenai seorang warga emas yang dipercayai telah meninggal dunia di dalam kereta Perodua Kancil berwarna Hijau.

Katanya siasatan awal mendapati lelaki berumur 70-an yang beralamat di Selayang Baru itu telah meninggal dunia di tempat duduk pemandu dalam keadaan berlumuran darah, dan mayat kemudiannya dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat.

“Pemeriksaan tubuh mendapati terdapat kesan kecederaan luka parah pada bahagian leher, dan turut dijumpai dalam kereja itu ialah satu objek tajam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zainal Mohamed berkata suspek direman hingga Selasa depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat ASP Puteri Noor Asiah Mohd Sharif di talian 012-671 8024 atau Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak di talian 03-6126 2222,” katanya.- BERNAMA