KUALA LUMPUR – Majlis Daerah Mersing menafikan dakwaan Koperasi Kampungstay kononnya pengoperasian Teluk Buih Kampungstay telah diserahkan kepada pihak ketiga.
Menurut jurucakap Majlis Daerah Mersing, fakta yang dikemukakan oleh pihak koperasi adalah tidak benar dan telah dimanipulasi oleh mereka yang berkepentingan.
“Saya ingn menjelaskan bahawa pengoperasian Teluk Buih Kampungstay sepenuhnya diuruskan pihak Majlis Daerah Mersing tanpa bantuan dana luar,” katanya dalam emel kepada MalaysiaGazette sebagai reaksi kepada laporan yang disiarkan semalam.
Menjelaskan lebih lanjut, jurucakap berkenaan berkata, sebagai bukti dan fakta yang jelas semua permohonan atau tempahan untuk bilik dan villa akan dimasukkan secara terus ke dalam akaun dan web Majlis Daerah Mersing.
Katanya, ini termasuk kos perbelanjaan mengurus yang juga ditanggung sepenuhnya menggunakan akaun Majlis Daerah Mersing.
“Maka dakwaan pihak kooperasi bahawa Majlis telah menyerahkan pengurusan Teluk Buih Kampungstay itu kepada pihak luar atau pihak ketiga adalah tidak benar,” katanya.
Menurut beliau, dakwaan kononnya Koperasi Kampungstay adalah pemilik Teluk Buih Kampungstay juga tidak benar kerana projek pembangunan ini dirancang dan dibangunkan oleh pihak kerajaan untuk kemajuan daerah.
Katanya, sekiranya pihak koperasi pernah ditawarkan atau diusulkan untuk menjadi pihak pengurusan pada permulaan projek pembangunan tidak bermakna kerajaan tidak berhak untuk meminda keputusan tersebut berdasarkan penilaian semasa.
“Ini bermakna penilaian kebolehupayaan pihak kooperasi untuk menguruskan dan menyelenggara teluk buih kampungstay ini tidak menyakinkan pihak kerajaan.
“Oleh yang demikian pihak kerajaan telah memutuskan supaya pihak Majlis Daerah Mersing diberikan hak sepenuhnya untuk mengurus dan menyelenggara Teluk Buih Kampungstay sebagai salah satu hasil untuk membangunkan Daerah Mersing,” katanya.
Semalam ahli lembaga pengarah Koperasi Kampungstay mendakwa Majlis Daerah Mersing telah menyerahkan pengoperasian Projek Kampungstay Teluk Buih Air Papan kepada pihak lain bagi memulakan operasi bermula 1 Mei lalu.
Beliau mendakwa tindakan tersebut telah mengabaikan hak koperasi. – MalaysiaGazette