Lee Chean Chung.- Foto MUHD NA’IM, 01 NOVEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – PKR mendakwa pengaruh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas semakin merosot sehingga terpaksa tunduk kepada Pengerusi Gerakan Tahan Air (GTA), Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menurut Pengarah Komunikasi PKR, Lee Chean Chung, ia dapat dilihat apabila Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mencabar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mendedahkan kekayaannya sama seperti desakan Dr Mahathir sebelum ini.

“Perkembangan terkini melihatkan sebelum ini Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menandatangani Proklamasi Orang Melayu bersama Dr. Mahathir.

“Kini, Faizal sebagai pimpinan kanan Bersatu pula mendokong kenyataan beliau. Jelas bahawa pengaruh Pas dan Bersatu dilihat makin merosot sehingga perlu bergantung kepada kekuatan Mahathir.

“Amat pelik juga pimpinan ulung mereka iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin telah pun diketepikan. Bukan itu sahaja, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin turut terpinggir untuk memberikan ruang kepada Dr. Mahathir.

“Tahniah kepada Dr Mahathir kerana beliau telah pun menjadi “Ketua Umum” kepada PN!” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Ahmad Faizal menyokong cabaran Dr Mahathir agar Anwar mengisytiharkan kesemua hartanya bagi membuktikan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu bersih dan tidak terlibat dengan penyalahgunaan kuasa.

Nada sama pernah disuarakan Dr Mahathir yang mendesak Anwar atas mana berkata desakan itu dibuat beliau supaya rakyat tahu sumber harta Anwar sebelum ini.

Dalam pada itu, Chean Chung berkata, cabaran itu tidak perlu dilayan Anwar kerana beliau pernah membuat pengisytiharan harta pada 9 November tahun lalu.

Jelas Chean Chung, PKR sentiasa telus dengan mewajibkan semua calon-calon Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) tahun lalu untuk mengisytiharkan harta masing-masing sebelum diangkat sebagai calon.

“Malangnya walaupun Bersatu/ Pas sering kali melabelkan diri sebagai blok yang bersih dan beramanah, langkah-langkah membina budaya politik yang sihat dan telus ini tidak diamalkan.

“Malah Presiden Bersatu  kini berhadapan dengan isu akaun parti yang dilambakkan dengan duit semasa negara berhadapan dengan krisis Covid-19 dan kini perlu menjawab di mahkamah,” katanya lagi. – MalaysiaGazette