Beginilah keadaan motosikal mangsa patah serta cermin tepi patah dan bengkok dalam kemalangan di Benta hari ini.

KUANTAN – Seorang warga emas maut selepas motosikal yang ditunggangnya hilang kawalan ketika membelok di selekoh di Kilometer 3, Jalan Benta – Kampung Peruang, Lipis dekat sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Ali Mohd Noor berkata, mangsa berusia 68 tahun maut di lokasi ketika dalam perjalananan pulang selepas mengisi petrol di Pekan Benta.

Dalam kejadian pukul 5.10 petang tadi, siasatan awal mendapati mangsa menunggang motosikal Honda EX5 dikatakan terbabas sendiri.

”Apabila sampai di tempat kejadian yang mana bentuk jalan sedikit berselekoh dan mendaki bukit, motosikal yang ditunggangi mangsa dipercayai telah hilang kawalan lalu terjatuh ke tepi bahu jalan.

”Akibat kemalangan tersebut, mangsa telah meninggal dunia di tempat kejadian setelah disahkan oleh pasukan perubatan Hospital Lipis.” katanya ketika ditemui hari ini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan hasil pemeriksaan perubatan mendaki mangsa mengalami kesan lebam di bahu. – MalaysiaGazette