Mohamad menghadiri Majlis Hari Raya Aidilfitri, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Wisma Perwira hari ini.

KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) sedang mempertimbangkan hasrat rakan sekutunya dalam Kerajaan Perpaduan yang mahu menggunakan lambang dacing pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hassan berkata, langkah tersebut merupakan salah satu daripada strategi bagi menghadapi pilihann raya dan mampu memberikan impak lebih baik.

“Tapi, bagi BN, kita telah memutuskan bahawa dalam PRN ini, kita akan menggunakan lambang kita sendiri. Kita juga akan berkempen atas pentas kita untuk pastikan PRN ini akan dijadikan sebagai satu petunjuk kepada kita sejauh mana sokongan dan tidak sokongan pengundi-pengundi kepada BN.

“…dan di situ nanti kita akan membuat langkah-langkah apa yang perlu dibuat untuk kita menghadapi PRU-16

“Tak lama lagi empat tahun setengah, walaupun empat tahun setengah nampak lama tapi, cepatkan cuma kita tak sedar,” katanya selepas menghadiri Majlis Hari Raya Aidilfitri, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Wisma Perwira di sini hari ini.

Hadir sama pada majlis sambutan itu timbalannya, Adly Zahari; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Sri Muez Abd Aziz; Paglima ATM, Jeneral Tan Sri Affendi Buang; Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Seri Mohammad Ab Rahman; Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Abdul Rahman Ayob dan Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Datuk Seri Mohd Asghar Khan Goriman Khan.

Sebelum itu beliau ditanya mengenai pendirian BN mengenai logo yang akan digunakan pada PRN yang akan berlangsung di enam negeri tidak lama lagi.

Sebelum ini, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan, BN akan menggunakan lambang parti itu untuk berdepan pilihan raya tersebut.

Katanya, parti-parti lain dalam Kerajaan Perpaduan pula akan menggunakan lambang pilihan masing-masing bagi calon mereka.

Beliau berkata, pihaknya akan menjalinkan kerjasama dengan semua parti dalam Kerajaan Perpaduan namun calon BN kekal menggunakan lambang BN iaitu dacing. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast