Ng Jing Xuen.

KUALA LUMPUR – Ng Jing Xuen mencipta sapabila menjadi pemain golf pertama negara memenangi emas individu wanita di Sukan SEA Kemboja 2023 hari ini bagi mengakhiri kemarau 30 tahun pingat emas acara golf wanita.

Jing Xuen tenang mengenepikan cabaran pemain pilihan dari Thailand, Eila Galitsky pada lubang pertama playoff selepas menyempurnakan pukulan putt untuk par untuk penentuan pingat emas di lapangan Kelab Golf Garden City, Phnom Penh.

Kali terakhir Malaysia memenangi emas kategori wanita adalah menerusi trio Lim Ai Lian, Lim Siew Ai dan Irene Yeoh untuk emas acara berpasukan pada edisi 1993 di Singapura.

Jing Xue, yang ketinggalan satu pukulan di belakang Galitsky pada permulaan pusingan hari ini melakukan lima bawah par 67 untuk keseluruhan 13 bawah par 203.

Foong Zi Yu meraih gangsa untuk negara selepas turut melakukan 67 pukulan pada pusingan terakhir dan mengumpul 208 pukulan keseluruhan.

Sementara itu, Malcolm Ting pula meraih perak dalam acara individu lelaki selepas mengatasi pemain Vietnam, Anh Minh Nguyen dan rakan senegara, Anson Yeo pada playoff tiga penjuru untuk penentuan tempat kedua.

Pemain Vietnam, Khanh Hung Le muncul juara selepas mendahului empat pukulan dengan 13 bawah par 203. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast