KUALA LUMPUR – Jumlah RM9 juta yang diperlukan bagi membantu kanak-kanak yang menghidap penyakit jarang jumpa, Spinal Muscular Atrophy (SMA) Type 1, Wan Muhammad Naail atau Naail kini mencukupi.
Ia selepas usahawan serta pempengaruh media sosial terkenal, Hafiz Mahamad menjadi penyumbang terakhir.
Menerusi perkongsian di Instagram milik ibu Naail sendiri, Raihan Aminz, dana sebanyak RM9 juta itu akan digunakan anaknya untuk menjalani rawatan suntikan Zolgensma.
Menerusi perkongsian ibu bayi tersebut, tertera nama Hafiz Mahamad serta seorang individu yang juga usahawan terkemuka dikenali Ayuni menjadi dua penderma terakhir masing-masing RM50,000 bagi mencukupkan kutipan dana yang telah digerakkan oleh badan amal Misi Rakyat.
Terdahulu, pelakon terkenal, Fattah Amin berkongsi tentang masalah kesihatan anak saudaranya, Naail kini berusia 10 bulan yang menghidap penyakit jarang jumpa, (SMA) Type 1.
Difahamkan, kos rawatan bagi penyakit tersebut mencecah RM9 juta dan gambar yang dikongsikan Fattah menerusi Instagram adiknya, Raihan Amin jelas dilihat Naail sentiasa memerlukan alat bantuan pernafasan untuk terus bernyawa.
Berdasarkan maklumat yang diberi Raihan, penyakit tersebut menyebabkan otot-otot Naail semakin hari semakin lemah termasuk otot paru-paru menyebabkan Naail terpaksa bergantung pada mesin bantuan pernafasan.
Sebelum ini, seorang pesakit (SMA) Type 1, Reese Tan Rui Xin berjaya sembuh selepas menerima suntikan Zolgensma bernilai lebih RM9 juta bagi mengubati penyakit genetik dialaminya.
Reese yang berusia 19 bulan, mendapatkan suntikan itu di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) selepas kutipan dana dilancarkan pertubuhan kebajikan One Hope Charity and Welfare akhir tahun lalu. – MalaysiaGazette