Wan Rosdy Wan Ismail

KUANTAN – Tiada kenaikan cukai tanah yang dikenakan oleh Kerajaan Negeri Pahang dalam tempoh lima tahun akan datang.

Itulah jaminan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail ketika semasa menjawab soalan tambahan Chan Chun Kuang (PH-Semambu) ketika Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang ke-15 hari ini.

ADUN Sembambu sebelum itu bertanya apakah perancangan kerajaan negeri untuk meningkatkan kutipan hasil tanpa meningkatkan cukai tanah.

”Tidak ada cadangan menaikkan cukai tanah dalam masa lima tahun, itu jaminan kerajaan negeri. Ini dapat dilaksanakan dengan memastikan hasil tanah dapat digandakan melalui kutipan hasil berulang.

”Antaranya meningkatkan kutipan hasil yang berulang sebagai contohnya sekarang ini kita ada 740,000 hak milik tanah, yang ini kita akan tingkatkan hingga 1 juta, bermakna hasil tahunan akan meningkat,” kata Wan Rosdy.

Selain itu, katanya, peningkatan hasil dapat dipertingkat dengan memberi pemilikan tanah kepada agensi-agensi kerajaan dan badan-badan berkanun termasuklah FELCRA, RISDA dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Wan Rosdy  juga membuat perincian kutipan hasil sebanyak RM1.288 bilion tahun lepas, di mana kutipan hasil tanah dengan jumlah RM754.8 juta merupakan kutipan tertinggi diikuti lain-lain hasil seperti duti hiburan dan fi kelestarian (RM284.15 juta), hutan (RM134.18 juta) dan geran persekutuan (RM91 juta).

Manakala bagi kutipan mengikut daerah, semua daerah kecuali Cameron Highlands menunjukkan peningkatan pada tahun lepas berbanding tahun 2021.

Kuantan merekodkan jumlah tertinggi iaitu RM182.25 juta disusuli Bentong (RM70.68 juta), Rompin (RM63.64 juta), Jerantut (RM55.66 juta) dan Pekan (RM51.28 juta).

”Kutipan fi kelestarian yang mula diperkenalkan tahun lepas pada kadar RM3 semalam, Wan Rosdy berkata ia menyumbang RM9 juta kepada kutipan hasil negeri, yang diletakkan di bawah kategori lain-lain hasil.

“Fi kelestarian ini ekoran cadangan daripada Yang Dipertua Dewan, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin semasa menjadi Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Pahang dengan antara tujuan ia digunakan semula untuk pemasaran pelancongan selain dibuat penambahbaikan yang diperlukan,” katanya.

Dalam pada itu, cadangan diskaun diberikan kepada mereka yang mahu dan berkemampuan menyelesaikan bayaran cukai untuk tempoh yang lama seperti tiga atau lima tahun akan dipertimbangkan oleh kerajaan negeri.

Demikian respons beliau terhadap cadangan Ketua Pembangkang Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Cheka) mengenai diskaun bayaran cukai. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast