pengundi perkauman sanusi perlembagaan persekutuan
Tan Chee Hiong

KUALA LUMPUR – Rakyat Malaysia pelbagai kaum digesa menolak stereotaip perkauman yang ditimbulkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Timbalan Pengerusi Pemuda MCA, Tan Chee Hiong berkata, tokoh-tokoh politik yang berbuat demikian untuk kembali berkuasa.

Menurut beliau, rakyat mesti mengelak daripada terjerumus ke dalam perangkap sandiwara politik dan menjadi boneka mereka.

“Kenyataan dan kelakuan Dr Mahathir dan Abdul Hadi adalah serupa dengan ‘teori konspirasi menarik pengikut’ di negara Barat.

“Memerhatikan sejarah politik Eropah dan Amerika Syarikat, strategi yang sama telah diguna pakai di mana mereka berdua menggunakan pengaruh mereka untuk menyebarkan teori konspirasi dan kemudian membesar-besarkan perbezaan kaum untuk mencetuskan permusuhan dan kebencian etnik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Chee Hiong mendakwa, Dr Mahathir dan Abdul Hadi berhasrat menyemai kekeliruan dalam kalangan pengikut mereka dan mempengaruhi golongan atas pagar untuk meningkatkan pengaruh politik masing-masing.

Beliau memberitahu, sebahagian besar rakyat yang dapat melihat niat mereka digesa menyampaikan mesej politik yang betul kepada orang ramai.

“Perkara terbaik yang perlu dilakukan dalam menghadapi ahli teori konspirasi ekstremis adalah menggalakkan kepelbagaian,” jelasnya.

Sehubungan itu, Chee Hiong menyeru rakyat supaya mengelakkan penggunaan kata-kata kesat dan menjaga emosi semasa berinteraksi di internet agar keadaan tidak menjadi lebih buruk. – MalaysiaGazette